Azmi (tengah) melihat kertas saman serta surat mahkamah yang difailkan berkaitan isu kunci tayar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


SEORANG peguam memfailkan saman terhadap Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) susulan tindakan pihak berkuasa tempatan itu mengunci tayar keretanya, bulan lalu.

Ang Kai Whei, 38, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerusi Tetuan Yeap dan Ang pada 21 Februari lalu dan pengurusan kes itu akan dijalankan di Mahkamah Tinggi pada 24 Mac ini.

Katanya, dia berpendapat bahawa pihak MPKB-BRI tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengunci tayar terhadap kesalahan meletak kereta di luar petak, sedangkan kompaun boleh dikeluarkan.

“Kejadian itu berlaku pada 2 Februari lalu pada 1.09 tengah hari di Jalan Ismail Hilir, di sini selepas saya menyelesaikan urusan kerja di pejabat.

“Bagaimanapun, selepas kembali ke kereta, saya terkejut melihat tayar dikunci dan terus menghubungi pihak berkenaan untuk datang membuka besi pengunci tayar.

“Namun, pihak berkenaan memberitahu, saya perlu menjelaskan bayaran RM110 dan disebabkan tidak mempunyai pilihan, saya perlu mengikut arahan mereka,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Ang berkata, disebabkan tidak berpuas hati dia memfailkan saman itu demi pembelaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali mendesak kerajaan negeri dan MPKB-BRI meneliti semula penguatkuasaan sistem parkir di negeri itu.

“Saya difahamkan untuk membuka kunci tayar, mereka perlu membayar RM110 dan melunaskan saman yang tertunggak sebelum ini.

“Tindakan ini menzalimi penduduk, terutama yang tidak berkemampuan sekali gus bertentangan dengan slogan ‘Kerajaan Berkebajikan’ yang dilaungkan sebelum ini.

“Jika mahu mendidik rakyat, ini bukan caranya. Masih ada cara lain boleh dilakukan tanpa bebankan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 9:12 PM