Wan Khairuddin memeriksa premis menjual kenderaan yang dimasuki penjenayah. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


EMPAT pacuan empat roda Mitsubishi Triton dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dilarikan penjenayah dari sebuah syarikat kenderaan hari ini.

Kejadian 4 pagi itu berlaku di sebuah premis di Jalan Kuala Krai, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

Kejadian itu turut menyebabkan pengawal keselamatan kedai itu berdepan detik cemas selepas empat perompak memecah masuk premis terbabit.

Bagaimanapun, mangsa Sukri Hussin, 65, tidak mengalami kecederaan apabila berjaya melarikan diri.

Sukri berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik rehat sebelum didatangi empat lelaki memakai topeng.

Katanya, salah seorang lelaki mengacukan pisau sebelum terus mengikat kaki dan tangannya serta menutup mukanya dengan kain.

“Selepas hampir sejam, saya berjaya membuka ikatan dan apabila penutup muka dibuka, saya dapati semua lelaki itu berada dalam sebuah bilik.

“Saya kemudian merangkak keluar dari kedai menerusi pintu belakang dan terus melarikan diri ke stesen minyak berhampiran untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia kemudian membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, empat suspek dipercayai memecah masuk menerusi belakang premis.

“Suspek kemudian mengikat pengawal keselamatan dan melarikan empat pacuan roda berwarna hitam, putih dan kelabu di dalam premis terbabit.

“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:44 PM