LIPAS yang ditangkap di premis makanan dalam operasi bersepadu di Saujana Putra. FOTO Ihsan MDKL
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


TIGA restoran di sekitar Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, diarahkan tutup selama 14 hari kerana premis dihuni lipas selain longkang tersumbat.

Dalam operasi dijalankan penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) pada 28 Februari lalu itu, sebanyak 14 restoran di sekitar daerah itu diperiksa bagi memastikan faktor kebersihan tidak diabaikan premis makanan.

Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, lipas berkenaan berkeliaran terutama di bahagian dapur restoran.

Menurutnya, pengusaha restoran juga didapati dengan sengaja membuang bahan buangan makanan dan cecair sehingga mengakibatkan saluran air longkang tersumbat selain tempat menyimpan bahan mentah yang kotor.

“Ketiga-tiga premis ini disita mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MDKL) 2007 dan 1 di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Objektif pemeriksaan ini bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan mengelakkan penyakit bawaan serangga serta pemberian penarafan dan pengiktirafan premis itu,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, MDKL turut menyita sebanyak 94 kerusi, 24 meja dan satu khemah kecil kerana tidak mempunyai permit.

Katanya, menerusi operasi selama enam jam mulai jam 6 petang itu, sebanyak 12 notis membabitkan Undang-Undang kecil, Undang-Undang kecil Penjaja, Seksyen Seksyen 46 (1)(a) danSeksyen 46 (1)(d) Akta 133 dikeluarkan.

Selain itu, Mohd Yasin berkata, sebanyak 23 notis dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan satu kompaun oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipercatuan Peraturan 3 (1) Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit (PHOPR) 1993.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pihak Imigresen dalam operasi sama selepas didapati bekerja secara tidak sah di premis makanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 3:08 PM