Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan tiga cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM5.372 juta ke negeri ini dalam tempoh sembilan hari.

Kes pertama dilaporkan berlaku 21 Februari lalu membabitkan seorang lelaki warga asing yang ditahan bersama kira-kira 100 kilogram syabu.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan 2 petang di sebuah premis di Penampang, bersama beberapa kotak yang dibawa masuk menggunakan perkhidmatan pos dari Semenanjung Malaysia.

Penolong Ketua Pengarah JKDM (Bahagian Penguatkuasaan) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hasil pemeriksaan mendapati dadah berkenaan disembunyikan di dalam bungkusan makanan protein tambahan dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, nilai rampasan bagi kes ini dianggarkan mencecah RM5 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes kedua dilaporkan 27 Februari lalu di Pejabat Pos Sandakan. Dalam kejadian 4.15 petang itu, hasil imbasan ke atas sebuah kotak mendapati imej mencurigakan.

“Seorang lelaki berusia 40-an yang menuntut barangan berkenaan kemudian ditahan dan pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira 4,900 pil dipercayai ekstasi bernilai RM122,500,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, Kota Kinabalu hari ini.

Abdul Latif berkata, dadah berkenaan juga dipercayai dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga dilaporkan berlaku 1 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Katanya, seorang wanita berusia 20-an yang baru tiba dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan domestik ditahan bersama bagasi berisi bungkusan plastik lut sinar.

“Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi serbuk hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat lima kilogram yang dianggarkan bernilai RM250,000.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali,” katanya.

Abdul Latif berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bagi mengenalpasti pekerjaan suspek dan peranan dalam sindiket dadah berkenaan.

Katanya, kejayaan ketiga-tiga kes ini dikenal pasti menerusi penggunaan mesin imbasan dan semua dadah ini dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

“JKDM akan terus komited dalam usaha mematahkan aktiviti penyeludupan dadah termasuk rokok dan minuman keras.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan disarankan menyalurkannya kepada JKDM untuk tindakan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:09 PM
ABDUL Latif (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas JKDM. FOTO Malai Rosmah Tuah