TERTUDUH hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi sebutan semula kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 Subang Jaya. FOTO Aziah Azmee
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya hari ini menetapkan 18 April depan sebagai tarikh pengurusan kes 18 individu yang didakwa terbabit dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 26 November tahun lalu.

Tarikh itu ditetapkan Majistret Nor Arifin Hisham berikutan dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan masih belum lengkap.

Prosiding kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran manakala semua tertuduh diwakili tiga peguam, Mohd Hezri Shaharil, Ahmad Faiq Azizan dan Azlan Roni.

Terdahulu, Alia Sumayyah memberitahu mahkamah bahawa, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi membolehkan dokumen itu disiapkan.

Dalam prosiding sama, seorang tertuduh kes itu, Mohd Khairi Abd Rashid tidak hadir kerana ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi membantu siasatan untuk kes berasingan dan perkara itu disahkan oleh penjaminnya.

Sejak 4 Disember tahun lalu, seramai 18 individu didakwa terbabit dalam rusuhan dengan memiliki senjata berbahaya untuk menyerang.

Selain Mohd Khairi, mereka yang lain adalah Mohd Ashraf Mohd Faisal, Absal Evastrie Abdullah, Muhamed Jalil Talib, Muhammad Khairol Anuar Zabidi, Muhd. Zamri Md Said, Shukri Razali, Afizal Sabtu, Nor Azmi Abdul Ghani, Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, Rozaihan Jamaludin, Mohammad Shahril Danniel Sajel, Mohammad Saifullah Abdullah, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Aziz dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2 pagi hingga 5 pagi, 26 November 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:50 PM