DINDING (chamber) berwarna putih kelihatan cantik di bahagian dalam Gua Sirih di Kampung Padang Cik Mas.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


KEINDAHAN Gua Sirih di Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai, menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

Sejak dibuka sebulan lalu, lebih 2,000 pengunjung sudah melawat gua berkenaan yang terletak 20 meter dari pekan Baling.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman berkata, penerokaan gua berkenaan dilakukan atas inisiatif persatuan penduduk.

Beliau berkata, penduduk menggerakkan inisiatif memajukan gua berkenaan berikutan keunikan dan keindahannya.

“Laluan gua ini sepanjang 400 meter iaitu dari pintu masuk sampai ke hujung. Penemuan baru ini boleh dimajukan sebagai lokasi pelancongan.


PINTU masuk utama Gua Sirih yang terdapat batu seperti sirih junjung di bahagian sebelah kanan gua.

“Selain Gua Sirih, daerah ini memiliki beberapa destinasi pelancongan lain seperti air panas semula jadi Ulu Legong dan Gunung Baling,” katanya

Beliau berkata, demikian ketika mengiringi Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Kedah Hariyanti Amit melawat Gua Sirih, semalam.

Md Shuhaime berkata, pada peringkat awal persatuan penduduk kampung membina trek laluan, pendawaian elektrik dan memasang lampu.

Selain itu, ahli persatuan juga menyediakan perkhidmatan malim gua bagi menjamin keselamatan pengunjung.


MOHD Hassan menunjukkan batu mineral yang terdapat di dalam Gua Sirih.

“Setakat ini pihak persatuan akan uruskan Gua Sirih, selepas enam bulan barulah pejabat daerah ambil alih. Namun pengurusannya masih lagi dengan kerjasama persatuan penduduk.

“Kami akan pastikan persekitaran gua selamat dan menambah kemudahan seperti jalan, tandas dan surau untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri, Isahak Murat berkata, kertas cadangan yang dihantar Pejabat Daerah Baling untuk membangunkan Gua Sirih dianggap bakal memberikan manfaat dalam bentuk ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Peruntukan untuk membina kemudahan awam dan meningkatkan lagi aspek keselamatan dalam gua akan disalurkan secara berperingkat.

“Kerajaan negeri akan memberi pertimbangan tahun ini juga untuk menambah baik infrastruktur seperti pembinaan jalan,” katanya.


PENGERUSI Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang/Padang Cik Mas, Mohd Hassan Aziz menunjukkan batu seperti haiwan singa yang terdapat di bahagian dalam dinding Gua Sirih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 9:00 AM