MOHD Roslan dibawa keluar dari mahkamah, semalam. FOTO/ZAMAN HURI ISA
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


AKIBAT membakar sebuah rumah, seorang pengutip besi dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Roslan Pawi, 35, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Beliau turut mengenakan hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan menceroboh rumah terbabit.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 September 2018.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menceroboh rumah milik Ghazali Ismail, 68, di Peringat di sini pada jam 12.30 tengah malam, 28 September 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan pemetik api dengan membakar rumah milik mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian Ghazali yang berada di sebuah lagi rumah di Kampung Bechah Keranji, Melor diberitahu jirannya rumah di Peringat diceroboh seorang lelaki sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, Ghazali melihat kelibat seorang lelaki melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumah sebelum dia menghubungi bomba untuk memadamkan kebakaran.

Lelaki itu bagaimanapun berjaya ditangkap berhampiran rumah terbabit pada hari sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:02 AM