Mohammed Azman (kiri) menyampaikan Anugerah Majikan Activ@Work Challenge 2018 untuk kategori 'Large' kepada Adzman Ahmad (tengah) dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sambil ditemani Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh ketika majlis Activ@Work Challenge 2018 Award. FOTO Azhar Ramli
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mahu majikan menggalakkan amalan hidup sihat dan kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan pekerja untuk mengelak penyakit tidak berjangkit (NCD).

Bagi berdepan dengan situasi kesihatan pekerja yang semakin merosot, PERKESO memperkenalkan Program Saringan Kesihatan dengan menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarum yang berusia 40 tahun ke atas bagi tujuan pengesanan awal NCD bermula September tahun lalu.

Analisa daripada saringan itu didapati sebanyak 73 peratus daripada pencarum mempunyai masalah berat badan, menghidap kencing manis (9 peratus), tekanan darah tinggi (27 peratus) dan kolesterol tinggi (62 peratus).

Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, untuk program saringan itu, PERKESO menyediakan baucar bernilai RM85 untuk pekerja lelaki dan wanita sebanyak RM215.

Menurutnya, ia termasuk untuk pemeriksaan ujian lumuran pap bagi mengesan barah pangkal rahim (kanser serviks) pada peringkat awal dan mamogram untuk mengesan barah payudara kepada wanita.

“Bagi memudahkan pencarum, PERKESO menambah baik program itu dengan memperkenalkan sistem `Voucherless HSP’ apabila mereka tidak perlu lagi menggunakan baucar secara fizikal.

“Mereka hanya perlu mendapatkan nombor baucar menerusi SMS dan terus ke klinik untuk menjalani saringan kesihatan,” kata Mohammed ketika sidang media Seminar Mempromosikan Kesihatan Di Tempat Kerja dan majlis Activ@Work Challenge 2018 Award di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, di negara ini ada 3.1 juta pekerja tetapi kurang daripada 500,000 orang yang melakukan program saringan.

“PERKESO ada 3,704 klinik panel di seluruh negara untuk membolehkan pencarum melakukan saringan,” katanya.

Mohammed Azman berkata, seramai 22,276 orang pencarum PERKESO dilaporkan mengalami keilatan atau meningggal dunia disebabkan NCD pada tahun lalu dengan purata 61 kes dilaporkan kepada pihaknya setiap hari.

“Tuntutan bagi pencen ilat dan pencen penakat disebabkan NCD terus meningkat saban tahun.

“Dalam tempoh antara tahun 2010 hingga 2018, kes yang dilaporkan untuk pencen ilat dan penakat akibat NCD meningkat lebih daripada 50 peratus,” katanya.

Mengenai Activ@Work Challenge, sebanyak 162 majikan menyahut cabaran itu pada 2017 dan harap ia akan bertambah lagi.

“Majikan perlu menggalakkan pekerja bersenam di dalam dan di luar pejabat walaupun ia bukan perkara yang mudah kerana orang Malaysia suka makanan manis seperti teh tarik.

“Dengan jumlah peratusan tinggi pekerja penghidap pelbagai penyakit, majikan tidak boleh melihat saja tetapi mestilah bersama-sama dengan PERKESO dan Kementerian Kesihatan untuk mencegah NCD dalam kalangan pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:27 PM