TERTUDUH. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BAKAL guru pendidikan seni dan visual dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana meliwat murid Tahun Enam.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu terhadap Mohamad Harman Faiz Hassin, 28, dari Kota Bharu, Kelantan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh mendapatkan sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman penjara serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara nanti.

Azman pada penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun tanpa kerelaannya di bilik asrama di sebuah institusi pendidikan guru di Terengganu, jam 1 tengah hari, pada 17 September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Terdahulu, Azman dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dijatuhkan kepada tertuduh kerana dia melakukan pecah amanah terhadap kepercayaan diberikan ibu bapa mangsa.

Katanya, perbuatan itu turut menyebabkan mangsa mengalami trauma yang teruk sehingga tidak mahu ke sekolah dan terpaksa menerima rawatan kaunseling di bahagian psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Syukri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 4:10 PM