FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

DUA remaja 18 tahun didenda RM5,000 dan penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Khas Trafik Johor Bahru, hari ini atas tuduhan memandu secara melulu dan membahayakan.

Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua remaja lelaki terbabit mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Nurasidah turut memerintahkan dua orang kena saman (OKS) itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mereka turut hilang kelayakan bagi mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Remaja yang masing-masing sudah bekerja itu didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Lebuhraya Sultan Iskandar (Danga Bay/Pantai Lido), Johor Bahru pada 10 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru, Inspektor Zulkifly Abdullah, manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam.

Difahamkan, kedua-dua mereka ditahan dalam operasi cegah lumba haram dan samseng jalanan ketika melakukan aksi ‘wheelie’ yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 3:35 PM