DR Ismuni Bohari. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KEMATIAN seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, Labuan ketika mengambil bahagian dalam acara larian pada temasya sukan sekolah itu baru-baru ini bukan disebabkan strok haba.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, kematian Norsahfiza Jaratin pada 17 Februari lalu belum dapat dipastikan.

“Suhu persekitaran pulau ketika hari sukan itu dilaporkan pada 24 ke 31 darjah Celcius, iaitu di bawah 35.

“Suhu itu adalah normal dan tidak mungkin menyebabkan strok haba,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni membuat kenyataan itu untuk memberi penjelasan mengenai hantaran dan rakaman video yang tular di media sosial mengatakan kematian pelajar itu disebabkan strok haba kerana cuaca panas ketika ini.

Norsahfiza, 16, pelari pecut bagi acara 200 meter tiba-tiba rebah kira-kira 20 meter dari garisan penamat di padang sukan Kolej Matrikulasi Labuan pada 8.40 pagi.

Kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke unit kecemasan Hospital Nukleus Labuan 9.20 pagi.

“Walaupun keadaan pelajar itu kritikal, suhu badannya adalah 37 darjah Celcius, iaitu suhu normal bagi tubuh manusia,” katanya.

Dr Ismuni berkata, bantuan kecemasan dan resusitasi juga diberikan, namun tiada tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia 9.45 pagi hari sama.

“Bedah siasat sudah dibuat dan kami sedang menunggu keputusan.

“Justeru, jabatan kami mengesahkan kematian pelajar itu bukan disebabkan strok haba seperti didakwa, kita harap tiada lagi tular mengenai punca kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 3:03 PM