Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


KELAINAN diketengahkan seorang lelaki memakai kostum adiwira ‘Ultraman’ ketika mencuci kenderaan berjaya menjadi daya penarik untuk pelanggan mendapatkan khidmatnya di pusat cuci kereta yang baharu dibukanya akhir bulan lalu.

Muhammad Nor Faiz Baharom, 22, dari Lorong Gong Penaga, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu, melabur kira-kira RM1,800 untuk membeli satu set kostum adiwira di Johor Bahru yang dipakainya ketika mencuci kenderaan pelanggan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Tengku Bariah itu yang mesra disapa sebagai Faiz berkata, idea memakai kostum adiwira untuk mencuci kereta timbul selepas menyaksikan beberapa adegan ‘Ultraman’ disiarkan di kaca televisyen.


Muhammad Nor Faiz memakai kostum Ultraman mencuci kenderaan di snow wash yang dibukanya di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Katanya, sejak mengenakan kostum adiwira untuk mencuci kenderaan di pusat cuci kereta miliknya berhampiran SM Sains Kuala Terengganu, sambutan daripada pemilik kenderaan sangat menggalakkan.

“Saya tidak mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan apabila memakai kostum adiwira untuk mencuci kenderaan dan hanya mengenakan kos standard iaitu RM14 untuk cucian luar dalam kereta dan RM5 untuk motosikal.

“Bagaimanapun, saya hanya memakai kostum adiwira untuk mencuci kenderaan pada setiap Isnin dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.


Muhammad Nor Faiz mengenakan kos standard iaitu RM14 untuk cucian luar dalam kereta dan RM5 untuk motosikal. FOTO Ghazali Kori

Faiz berkata, cuaca panas berpanjangan ketika ini membataskan dirinya untuk mengenakan kostum adiwira itu sepanjang masa berikutan ia menggunakan fabrik yang tebal dan panas jika dipakai dalam tempoh lama.

Dia yang juga anak bongsu daripada empat beradik berkata, kostum adiwira itu dibeli menggunakan wang simpanan RM10 sehari yang dikumpul sejak beberapa bulan lalu daripada hasil jualan di kedai makan miliknya di bandar raya Kuala Terengganu.

Katanya, operasi pusat cuci kereta berkenaan bermula jam 11 pagi sehingga 11 malam setiap hari dan ditutup pada setiap Jumaat.


Muhammad Nor Faiz melabur kira-kira RM1,800 untuk membeli set kostum adiwira ‘Ultraman’ di Johor Bahru. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:18 PM