KEADAAN lori yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal yang ditunggang warga emas di Jalan Lukut - Port Dickson berhampiran dengan rumah rakyat pekan Lukut, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


WARGA emas maut diseret lori sejauh 40 meter di Jalan Lukut-Port Dickson, berhampiran Rumah Rakyat Pekan Lukut, Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada kejadian 1.40 tengahari, mangsa, Siak Kam Sung, 78, cedera pada bahagian dalaman badan.

Katanya, mangsa sebelum itu menunggang motosikal jenis SYM berseorangan dari Ambang Kota menuju ke Dataran Segar, di Port Dickson, sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Motosikal ditunggangi mangsa dipercayai berada bersebelahan lori di laluan sama dan tidak disedari pemandu lelaki berusia 33 tahun. Sebaik lampu isyarat berwarna hijau, motosikal itu diseret lori terbabit sejauh 40 meter,” katanya.

Menurut Aidi, warga emas itu pada awalnya cedera dan mengalami pendarahan sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson, di sini.

“Selepas tiga jam menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia akibat luka dalaman badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Aidi Sham berkata, pemandu lori memberitahu anggotanya dia hanya terdengar seretan sewaktu lori sedang bergerak.

“Apabila kenderaan itu berhenti, pemandu terkejut mendapati mangsa dan motosikal berada di bawah lorinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:00 PM