NANI Sakam. FOTO Khairull Azry Bidin
Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bh.com.my


PERTUBUHAN Penyatuan Islam Sabah (PPIS) meminta kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, khususnya menerusi media sosial.

Yang Dipertua PPIS, Datuk Nani Sakam berkata, walaupun beberapa individu sudah ditahan kerana menghina Islam, masih ada individu lain melakukan perkara sama dan dipercayai belum dikenakan tindakan berdasarkan perkongsian di media sosial oleh pelbagai pihak.

Katanya, pemantauan pihaknya mendapati ada beberapa lagi pemilik akaun Facebook terang-terangan memuat naik hantaran yang menghina Islam serta Nabi Muhammad SAW, dan mereka perlu dikenakan tindakan tegas.

“Perkara itu (menghina Islam) tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat negara ini yang mengamalkan keharmonian kaum.

“Saya selaku Yang Dipertua PPIS menggesa pihak keselamatan dan kerajaan khususnya agar dapat mencari individu berkenaan untuk diambil tindakan sewajarnya.

“Ini kerana perbuatan itu boleh menjejaskan perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama,” katanya kepada NSTP.

Sebelum ini, PPIS ada membuat laporan polis berhubung isu berkenaan terhadap seorang individu menggunakan nama Sally Yen di Facebook yang didakwa membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad.

Mengulas lanjut, Nani berkata, sekiranya tindakan tegas secara berterusan tidak diambil oleh pihak kerajaan, pihaknya bimbang penghinaan terhadap Islam atau agama lain akan berlarutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:15 AM