WARIS dan anggota keluarga mangsa tragedi MH370 tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir pada Majlis Memperingati Tragedi MH370.
Agensi

KUALA LUMPUR: Seorang isteri penumpang Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang menggunakan peluang bertemu Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merayu kerajaan meneruskan usaha mencari pesawat berkenaan.

Danica Weeks menjadi keluarga pertama daripada semua keluarga penumpang pesawat berkenaan bertemu Dr Mahathir dalam program 60 Minutes terbitan Australia semalam.

Dalam pertemuan berkenaan Danica cuba meyakinkan Dr Mahathir untuk mencari pesawat berkenaan yang hilang pada 8 Mac 2014 dan membawa mayat suaminya, Paul pulang.


MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melihat serpihan sayap bangkai pesawat MH370 yang dipamerkan sempena Majlis Memperingati Tragedi MH370 di ruang legar The Square Publika.

Suami Danica itu adalah antara 238 penumpang pesawat berkenaan yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum ia secara misteri berpatah balik dan hilang.

“Tolong jangan putus asa dengan kami,” rayu Danica yang mempunyai dua anak kepada Dr Mahathir.

“Ini bukannya mengenai 239 orang dalam pesawat Boeing 777. Ia adalah mengenai kira-kira lapan juta orang yang menaiki kapal terbang setiap hari.

“Isteri, suami, anggota keluarga yang bercuti, pekerja yang menaiki pesawat dan kita tidak tahu apa yang berlaku,” jelasnya.

Selepas mendengar rayuan Danica, Dr Mahathir berikrar untuk meneruskan pencarian pesawat itu.

Dr Mahathir juga menolak teori juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah sengaja merampas pesawat berkenaan dan menyebabkan ia terhempas di kawasan terpencil di Laut Hindi.

“Saya tidak fikir seorang yang menerbangkan pesawat terlalu lama, seorang juruterbang senior boleh melakukan perkara itu. Saya tidak tahu bagaimana dia boleh hilangkan pesawat itu.

“Tidak tahu apa-apa sangat memberi tekanan. Saya sangat sedih terutama sekali apabila pencarian dihentikan. Kehilangan pesawat tidak memberi apa-apa tetapi kehilangan manusia adalah sesuatu yang lain,” kata Dr Mahathir.


SUASANA pada Hari Memperingati MH370 yang diadakan di The Square, Publika.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:02 AM