Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SEORANG lelaki warga Ireland ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat dalam bilik rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, hari ini.

Mayat, Brian Patrick O’ Reilly, 51, ditemui pihak pengurusan kondominium terbabit, 5 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa turut cedera pada kepala dipercayai kerana diketuk dengan kuali.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek meninggalkan sekeping nota yang menyatakan dia tidak berpuas hati dengan mangsa kerana terbabit dalam sindiket ‘scammer’.

“Nota yang ditinggalkan suspek itu menyatakan dia geram kerana mangsa menipu wang adik perempuannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Zaimani berkata, setakat ini polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

“Siasatan mendapati mangsa bekerja sebagai pengaturcara komputer dan dia baru membuka pejabatnya di negeri ini dua minggu lalu.

“Pemeriksaan dalam rumah mendapati peti besi dalam bilik diselongkar dan ada kesan pergelutan berlaku,” katanya.

Katanya, mayat akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 8:46 PM
LELAKI warga Ireland ditemui mati dalam bilik rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown. FOTO Ihsan Polis