MAYAT mangsa. FOTO Ihsan APMM
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


Mayat kanak-kanak perempuan dipercayai mangsa bot pancung terbalik, ditemui terapung di perairan antara Tanjung Pasir dan Mumiang, dekat Sandakan, hari ini. .

Mangsa dipercayai Nidzma Herman, 10, ditemui kira-kira jam 7.30 pagi oleh nelayan di perairan berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Penemuan mayat keempat itu menjadikan cuma dua yang masih hilang dalam insiden Khamis lalu iaitu bayi berusia 18 bulan, Noraina Ibrahim dan tekong bot dikenali sebagai Sido, 27.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot Pasukan Polis Marin (PPM) ke lokasi terbabit sebaik menerima laporan berkenaan untuk mengambil mayat mangsa.

Katanya, operasi masih lagi diteruskan membabitkan lapan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kali ini tumpuan pencarian dilakukan ke atas kawasan merangkumi 84 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lapan sektor. Operasi ini membabitkan lebih 40 anggota,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 petang khamis lalu, sebuah bot pancung membawa 11 individu dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dilaporkan terbalik di perairan berhampiran Pulau Nunuyan Laut.

Lima mangsa berpaut pada bot ditemui selamat, manakala enam hilang sebelum tiga mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada hari pertama, kedua dan ketiga operasi pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 1:54 PM