NELAYAN berkenaan. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


NELAYAN warga Thailand dipercayai mangsa bot karam di perairan Satun, Thailand, Jumaat lalu, ditemui terdampar di Pulau Pasir di Langkawi, semalam.

Mangsa, Yahaya Piah, 41, ditemui seorang nelayan tempatan ketika menangkap ikan di kawasan itu, 1.30 tengah hari, sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Wilayah Utara APMM, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, mangsa antara sembilan kru bot nelayan yang tenggelam di perairan Satun, Thailand, jam 10 malam, Sabtu lalu.

“Pusat Operasi Maritim Langkawi menerima maklumat berkaitan kejadian dari Pejabat Penyelarasan Sempadan Malaysia-Thailand (MTBCO), sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengkoordinasikan SAR yang bertumpu di kawasan perairan sempadan selepas mendapat maklumat mangsa dipercayai hanyut memasuki perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rozali berkata, SAR diperluas melebihi 30 batu nautika persegi yang turut membabitkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Sejurus ditemui, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Hangat sebelum dipindahkan ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa dilaporkan stabil tetapi keadaan fizikalnya masih lemah dan mengadu terasa pedih di bahagian dalam badan,” katanya.

Beliau berkata, tujuh rakan mangsa dilaporkan ditemui masih hidup oleh pihak berkuasa Thailand, manakala seorang lagi meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 1:20 PM