MOHD Haris Ibrahim. FOTO Malai Rosmah Tuah
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA anggota polis bukan sahaja dimaki hamun, malah cedera selepas ditumbuk dan disepak oleh suami isteri ketika menenangkan pasangan itu di parkir Balai Polis Penampang, semalam.

Dalam kejadian 1.05 pagi, suami isteri berusia lingkungan 30 tahun hadir ke Balai Polis Penampang kerana terbabit kemalangan.

Sebaik tiba di balai polis, keadaan menjadi kecoh selepas pasangan itu tidak berpuas hati apabila melihat pihak yang terbabit kemalangan dengan mereka turut berada di balai polis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika keadaan menjadi kecoh dan tidak terkawal, dua anggota polis kemudian bertindak menenangkan pasangan terbabit.

“Ketika itu, suami isteri (suspek) bertindak agresif dan memaki hamun anggota polis yang cuba menenangkan keadaan.

“Suspek wanita yang disyaki di bawah pengaruh alkohol bertindak menumbuk dan menyepak dua anggota polis terbabit sehingga cedera,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Haris berkata, suami isteri itu ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dalam kawasan balai polis dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

“Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 10:05 AM