MOHAMAD meletak rempah yang diminta pelanggan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


SERAMAI 1,000 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) meminta pertimbangan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menunda tarikh pemindahan ke PBKP 2 selepas Aidilfitri tahun ini.

Difahamkan, MBKT sudah mengeluarkan arahan supaya semua peniaga berpindah bermula 15 April ini ke PBKP 2 yang dibina sebagai pasar sementara kira-kira 100 meter dari PBKP.

Ia bagi memberi ruang kepada kerja pembinaan PBKP baharu yang dijangka bermula Mei atau Jun ini.

Peniaga, Mohamad Abdul Rahman, 65, dari Kampung Wakaf Tengah berkata, sepatutnya MBKT memberi masa kepada semua peniaga sehingga akhir Jun ini untuk berpindah ke PBKP 2.

“Banyak perkara yang sepatutnya dipertimbangkan MBKT sebelum mengeluarkan arahan kerana bukan semua peniaga di PBKP berniaga secara gerai dan boleh berpindah dengan mudah.

“Kami menyewa lot kedai dan terdapat banyak barang di dalam kedai yang perlu disimpan sebelum dipindahkan ke pasar baharu itu.

“Difahamkan saiz lot kedai yang disediakan di PBKP2 hanya bersaiz 10 x 10, jauh lebih kecil dari saiz asal kedai kami di PBKP iaitu 20 x10, jadi tidak semua barangan boleh dipindahkan ke PBKP2,” katanya ketika ditemui Harian Metro di PBKP di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Leh Rempah berkata, dia buntu memikirkan hal itu memandangkan jumlah barangan yang dijualnya seperti beras, rempah dan pelbagai jenis barangan keperluan mentah untuk masakan memerlukan lot kedai yang besar untuk menyimpan stok sedia ada.

“Saya mungkin perlu menyewa lot bangunan lain yang boleh dijadikan stor sementara untuk menyimpan stok barangan sedia ada dari PBKP, jadi saya memerlukan masa untuk mencari bangunan bersesuaian bagi tujuan itu.

“Kami berharap tempoh dilanjutkan selepas Aidilfitri supaya peniaga mempunyai banyak masa untuk memikirkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya yang berniaga di PBKP sejak 30 tahun lalu.


ROSLI, peniaga di Pasar Payang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Pemborong makanan ringan, Rozaimi Abdullah, 43, berkata, ramai peniaga menyuarakan pendapat supaya tempoh masa berpindah yang dikeluarkan itu dilanjutkan selepas Aidilfitri.

“Peniaga di pasar ini memperoleh keuntungan lebih hanya pada Ramadan dan sekiranya kami perlu berpindah April ini, jualan mungkin akan merosot.

“Kami di sini sudah mempunyai pelanggan tetap, sekiranya peniaga berpindah ke PBKP2, risiko pelanggan beralih ke pusat beli belah lain untuk mendapatkan barangan keperluan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sangat besar.

“Justeru, kami berharap kerajaan negeri dan MBKT mempertimbangkan permohonan kami untuk melanjutkan tarikh pemindahan bagi membolehkan kami membuat persiapan sekali gus peluang terakhir untuk berniaga sepanjang Ramadan nanti,” katanya

Bagi Rosli Bahadin, 64, dari Kampung Cabang Tiga berkata, dia dan semua peniaga akur dengan arahan yang dikeluarkan MBKT supaya berpindah namun pihak berkaitan perlu prihatin dengan keluhan peniaga.

“Kedai yang disediakan di PBKP 2 kecil untuk peniaga bahan makanan seperti kami dan tidak semua barangan boleh dipindahkan.

“Proses mencari kedai atau bangunan lain untuk dijadikan stor sementara juga memerlukan masa dan ia tidak mampu diselesaikan sebelum April ini,” kata peniaga serunding dan makanan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Kuala Terengganu Zakaria Yusof berkata, pihaknya menerima arahan daripada MBKT supaya berpindah pada 15 April ini.

“Kami difahamkan PBKP 2 akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Mei manakala kerja merobohkan PBKP akan dijalankan bermula Mei atau Jun.

“PPPKM sudah menjalankan perbincangan dengan semua peniaga dan MBKT selain turut menyuarakan kepada pihak berkuasa tempatan itu mengenai hasrat supaya menangguhkan tarikh pemindahan itu.

“Semua peniaga akur dengan arahan namun ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan MBKT untuk kebaikan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, susun atur lot kedai yang disediakan di PBKP 2 sangat memuaskan kerana ia dibahagikan mengikut bahagian masing-masing iaitu makanan, pakaian, emas dan bahan basah seterusnya memberi kemudahan kepada pelanggan.

“Difahamkan, seramai 80 peniaga PBKP gagal mendapatkan lot kedai di PBKP 2 kerana pelbagai masalah termasuk mempunyai rekod bayaran sewa tertunggak dan kesalahan memberi sewa kepada peniaga lain,” katanya.

Berita berkaitan

  • Pasar Payang bakal diroboh April ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:34 PM