ANTARA barangan yang dirampas. FOTO Erika George
Erika George
am@nstp.com.my


SEORANG lelaki tidak sempat menjual barangan yang dicurinya dari sebuah rumah di Kampung Pandan, Sebauh, Bintulu, apabila ditahan polis hanya selepas lima jam dia memecah masuk rumah berkenaan, semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota polis di rumahnya di kampung sama jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mengenalpasti suspek yang menceroboh rumah terbabit kira-kira 6.30 petang semalam.

“Anggota polis yang diketuai Inspektor Nixon Malang berjaya menemui semula beberapa barangan yang dicuri dari rumah mangsa.

“Antaranya alat pembesar suara, beberapa unit telefon bimbit, peralatan komputer dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di Balai Polis Sentral Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga lima tahun serta denda,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai khususnya penduduk Kampung Pandan atau yang tinggal dalam daerah Sebauh yang rumah mereka pernah dipecah masuk supaya menghubungi Inspektor Peterson Ray di talian 019-8286889 bagi menjalankan proses pengecaman barangan yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 4:30 PM