BARANGAN yang dirampas. FOTO Ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TAKTIK juragan menyeludup barang kawalan ke negara jiran menggunakan kapal nelayan gagal selepas Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menghidu kegiatannya itu dalam Ops Landai Khas di perairan Kampung Landung Ayang, Kudat, semalam.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, sebanyak 44 tong gas petroleum cecair (LPG), 500 kilogram (kg) tepung gandum dan 170 liter petrol dipercayai cuba diseludup ke Pulau Mangsi, Filipina.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan itu daripada Unit Risikan Marin (URM) ketika sedang menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

“Sebuah kapal nelayan diperiksa dan menemui pelbagai barang kawalan termasuk tong berisi LPG, tepung gandum, petrol dan dua tong kosong untuk petrol.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 47 tahun gagal menunjukkan dokumen dan permit kebenaran

daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya terpaksa menahan lelaki terbabit mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan yang boleh menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan.

“Rampasan barang kawalan dianggarkan lebih RM50,000 dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat sebelum kes diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Pajeri meminta orang ramai terus memberikan maklumat berkaitan penyeludupan barang kawalan bagi mengelak daripada berlaku ketirisan serta kekurangan bekalan di negeri ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut berjaya mengesan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot tunda di kawasan kurang dari enam batu nautika di perairan di Kota Belud, kelmarin.

“Menerusi Ops Gelora yang dijalankan PPM Kota Kinabalu, berjaya mengesan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tunda itu dikendalikan juragan warga Indonesia berusia 40 tahun dan pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai jenis ikan di bot berkenaan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, ikan yang dianggarkan bernilai RM4,000 itu dirampas.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan pukat tunda kurang dari enam batu nautika yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 1:34 PM