BERNAMA

PAKATAN Harapan (PH) menerima kegagalan calon parti itu untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Timbalan Presidennya Lim Guan Eng menyifatkan keputusan itu sebagai hak dan suara rakyat dalam memilih wakil rakyat di kawasan itu.

“Tentu bagi saya menerima keputusan daripada rakyat ini. Memang ini adalah hak dan suara rakyat.

“Jangkaannya ialah Barisan Nasional (BN) akan dilihat macam mana mereka hendak menunaikan janji dan kenyataan yang dibuat dalam pilihan raya kecil itu.

“Untuk PH kita akan terus berusaha untuk menyatu padukan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai larian ‘I Love Penang Run’, di Georgetown, hari ini.

Keputusan PRK DUN Semenyih semalam menyaksikan BN berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi memenangi pertandingan empat penjuru itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Mengulas mengenai pendedahan penganalisis politik Raja Petra Kamarudin mengenai kebocoran kertas siasatan membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan beliau dan beberapa pemimpin kanan DAP, Menteri Kewangan itu berkata, tuduhan itu adalah tidak berasas dan satu pembohongan.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, umum mengetahui Pulau Pinang mengamalkan konsep tender terbuka sekali gus tiada kemungkinan wujudnya unsur rasuah.

“Ini memang satu tuduhan pembohongan. Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan sebelum ini sudah membuat tuduhan (rasuah) terhadap saya dan saya saman dia.

“Beliau juga sudah menarik balik kenyataan dan melahirkan rasa kesal dan buat bayaran RM10,000 kepada saya.

“Jelas sekali ini memang satu penipuan yang diadakan untuk memburukkan bukan sahaja nama saya dan beberapa pemimpin DAP, malah kerajaan Pulau Pinang dan PH. Saya rasa amat jelas bila Pulau Pinang amalkan tender terbuka, kemungkinan seperti ini tidak berlaku,” katanya.

Raja Petra dalam portal Malaysia Today sebelum ini mendedahkan beberapa artikel yang memaparkan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek terowong dasar laut dan projek jalan raya Pulau Pinang dengan anggaran RM6.3 bilion.

Berdasarkan artikel itu, beberapa bekas Exco Pulau Pinang turut dinamakan dalam dokumen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 1:11 PM