Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


LEBIH 3,000 umat Islam di negeri ini membentuk ‘lautan manusia’ bagi menzahirkan solidariti pada Perhimpunan Ummah Melaka Bantah Penghinaan Nabi Muhammad SAW di Dataran Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Tan Chay Yan, Melaka, malam tadi.

Perhimpunan anjuran Pembela Ummah Melaka itu turut diterajui parti politik UMNO dan PAS Melaka serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang sepakat menentang pengkhianatan pihak memperlekehkan agama Islam serta menghina Rasulullah SAW.

Orang ramai mula membanjiri kawasan perhimpunan sejak 5.30 petang, sebelum bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah disusuli perarakan beramai-ramai menuju ke Dataran UTC.

Pengerusi Pembela Ummah Melaka yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata perhimpunan pada malam ini adalah isyarat jelas ketidakpuasan hati umat Islam di negara ini.

Menurutnya, ketidakpuasan hati itu berhubung keputusan diambil Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam menangani isu pihak yang memperlekeh agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Individu yang melakukan perkara ini jelas melanggar syarat Islam sebagai agama Persekutuan. Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara patut bertindak pantas terhadap pihak yang menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.

“Perhimpunan ini adalah isyarat jelas yang umat Islam bangkit membantah pihak yang cuba memperkecilkan agama Islam, selain mahu Peguam Negara supaya segera bertindak,” katanya pada sidang medianya selepas perhimpunan berlangsung, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB), Datuk Lokman Noor Adam dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.

Sementara itu, Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, selama 61 tahun kerajaan sebelum ini berupaya memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selain terus mempertahankan Akta Hasutan kepada pihak yang cuba membangkitkan kekacauan.

“Ini penting adanya Akta Hasutan ini yang dapat bertindak terhadap pihak yang menghina Rasulullah SAW.

“Kita kesal, apabila penghina Rasulullah SAW ini awalnya dibebaskan, sebelum akhirnya ditahan semula selepas untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Kamaruddin pula berkata, perhimpunan aman itu berjaya menarik penyertaan lebih ramai umat Islam semata-mata bagi menzahirkan rasa kekesalan terhadap pembebasan individu penghina Nabi Muhammad SAW dan mahu pelakunya dihukum dengan setimpal.

Akhbar dan portal NSTP pada Khamis lalu melaporkan polis menerima satu laporan daripada pejabat peguam negara berhubung penularan hantaran Facebook dan WhatsApp menggambarkan peguam negara sebagai anti-Islam.

Tuduhan itu adalah berikutan dakwaan pihak tertentu yang menganggap kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang didapati menghina Nabi Muhammad dan Islam, walaupun dua suspek kes sudah didakwa sehingga ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 12:28 AM
LEBIH 3,000 umat Islam menzahirkan solidariti pada Perhimpunan Ummah Melaka Bantah Penghinaan Nabi Muhammad SAW di Melaka. FOTO Rasul Azli Samad