Dr Wan Azizah (gambar arkib NSTP). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


KEKALAHAN Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih malam ini, memberi mesej jelas bahawa isu rakyat perlu diberi keutamaan.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pucuk pimpinan parti harus bersama berbincang dan menyelesaikan setiap isu diutarakan serta memberi penerangan kepada rakyat mengenai apa dilaksanakan kerajaan.

“Kita perlu ambil iktibar dengan apa yang hendak kita lakukan tidak kiralah sama ada pilihan raya kecil atau besar (Pilihan Raya Umum).

“Kita (kerajaan) perlu dengar apakah isu (rakyat) dan kita mesti terangkan dengan mendalam.

“Kita ada sistem demokrasi dan rakyat ada pilihan. Kita mahukan rakyat tahu kita sudah cuba sedaya upaya untuk rakyat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Port Dickson, malam ini.

Turut hadir Ketua Umum PH yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Anwar turut mengakui kekalahan PH pada PRK DUN Semenyih itu berikutan ada beberapa masalah yang belum sempat diselesaikan.

Beliau berkata, keputusan terbabit memberi gambaran mengenai perasaan rakyat terhadap kerajaan ketika ini.

“Saya fikir ia memberi sedikit gambaran tentang perasaan rakyat, terutama sentimen disuarakan oleh masyarakat Melayu yang harus diambil kira.

“Namun, kita harus teruskan tugas dengan baik dan saya yakin jika diberikan sedikit masa rakyat akan dapat faham mengapa kita ambil langkah-langkah yang sedang diambil dan keterbatasan kita dalam beberapa langkah pelaksanaan,” katanya.

Ditanya sama ada kekalahan PH itu disebabkan oleh aura Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir hilang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Anwar berkata, tafsiran itu tidak sesuai.

Dalam keputusan PRK DUN Semenyih yang diumumkan malam ini, calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berjaya merampas kerusi DUN Semenyih dengan memperoleh 19,780 undi mengatasi lawannya Muhammad Aiman Zainali dari PH yang mendapat 17,866 sekali gus menang dengan majoriti 1,914 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:30 PM