Mukhriz (gambar arkib NSTP). FOTO Aizuddin Saad
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


“KITA anggap ini (kekalahan) sebagai satu mesej yang perlu dihayati sebaik mungkin selepas ini,” kata Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut beliau, kekalahan parti kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini adalah isyarat kepada mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan sehingga ‘dihukum’ rakyat.

“Kita dah cuba sedaya upaya untuk memberi penerangan dan sebagainya di Semenyih, tapi rakyat lebih tahu apakah pilihan mereka dan kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

“Selepas ini, di mana-mana bahagian yang kita rasakan ada kesilapan serta kelemahan, itu tentulah kita perlu cuba perbaiki sedaya mungkin,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Bandar Rinching, Hulu Langat, malam ini.

Mengulas mengenai punca kekalahan itu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci untuk mengenal pasti kelemahan selain telah mengenal pasti beberapa isu.

“Selepas ini mungkin ada beberapa lagi PRK, mungkin ada kawasan kita bertanding, saya tak tahu.

“Kita kena ambil kira isu berbangkit yang berkait rapat dengan kawasan dan negeri dalam apa juga keputusan yang dibuat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 10:42 PM