Mohamad menjawab soalan media selepas pengumuman calon BN menang PRK Semenyih, turut sama Takiyuddin dan Zakaria di Pusat Pengiraan Undi Dewan Seri Cempaka. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


“KITA pilih calon yang tepat, faktor itu memainkan peranan baik untuk kemenangan ini,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, BN memilih Zakaria Hanafi sebagai wakil rakyat yang boleh mewakili rakyat dan dikenali ramai dalam kalangan pengundi.

Katanya, justeru suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan diangkat ke Dewan walaupun BN hanya memiliki lima wakil.

“Setelah kita dapat keputusan hari ini, ia adalah ujian sebenar dan saya bersyukur serta ucapan terima kasih khususnya kepada Datuk Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS) dengan kerjasama yang baik ini.

“Penghargaan kepada PAS yang ‘dibelasah’ teruk, lega sedikit kami, kemenangan ini akan diteruskan ke Rantau,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Zakaria diisytiharkan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Kajang, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, momentum kemenangan itu diharapkan dapat diteruskan pada PRK Rantau tidak lama lagi.

Beliau berkata, BN akan mencuba sebaik mungkin di Rantau.

“Kita tak sebut yakin, kita cuba, lain padang lain belalang lain, lain peranan.

“Dia makan kita empat, kita makan dua, mungkin makan tiga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 10:32 PM