Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


LELAKI berusia 24 tahun ditahan polis di Jempol Rabu lalu, selepas dipercayai merogol remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga adik angkatnya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, perbuatan itu terbongkar apabila remaja terbabit pulang ke rumah selepas dua hari menghilangkan diri dan menceritakan kejadian kepada keluarga.

Menurutnya, mangsa memberitahu diajak keluar oleh suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolahnya pada 20 Februari lalu.

“Mangsa mengikut suspek keluar ke Port Dickson pada 7 malam. Selepas itu suspek membawa mangsa ke sebuah hotel di Telok Kemang kira-kira 2 pagi dan mereka melakukan hubungan seks.

“Keesokan harinya selepas mendaftar keluar hotel, mangsa dibawa ke rumah keluarga suspek selama dua hari.

“Bagaimanapun, keluarga suspek menghantar mangsa pulang ke rumahnya selepas mendapat tahu laporan polis dibuat keluarga mangsa mengenai kehilangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, mangsa memberitahu dirogol suspek sebelum keluarga membawanya membuat laporan di Balai Polis Jempol untuk tindakan lanjut, Rabu lalu.

Berikutan itu, katanya, polis mengesan suspek dan berjaya menahannya di sekitar Jempol, 10.30 malam hari sama.

Katanya, suspek direman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 8:50 PM