Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TERUJA mahu mendapatkan keuntungan dalam pelaburan bursa saham yang ditawarkan menerusi aplikasi WhatsApp, seorang kerani kerugian hampir RM10,000 selepas ditipu dalam kejadian di bandar Kuala Terengganu.

Wanita berusia 22 tahun itu menyedari ditipu pada Selasa lalu apabila lelaki berusia 23 tahun berkali-kali mengarahkan memasukkan wang walaupun sudah melakukan enam transaksi.

Menurut sumber, mangsa mendakwa menghubungi suspek selepas tertarik dengan iklan pelaburan yang dihantar di dalam kumpulan WhatsApp dinamakan sebagai ‘Bursa Saham’.

Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang ke dalam satu akaun membabitkan enam transaksi bermula Ahad lalu manakala transaksi terakhir pada Selasa.

“Mangsa berbuat demikian selepas mendengar penerangan berkaitan pelaburan itu sebelum suspek meminta memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank diberikan.

“Namun, mangsa mula curiga apabila suspek memintanya memasukkan wang lagi walaupun dia sudah membuat pembayaran hampir RM10,000 sebelum membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada Selasa lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 3:41 PM