GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


CUBAAN empat lelaki memecah masuk bangunan yang menempatkan sarang burung walit terbantut selepas dicekup polis dalam kejadian di Kampung Pasir Gajah, Chukai kelmarin.

Kegiatan jenayah lelaki berusia antara 26 hingga 37 tahun itu terbongkar selepas pemilik berusia 44 tahun melihat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbitnya 3.10 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, lelaki yang berada di rumahnya di Selangor melihat kelibat dua suspek di premisnya sebelum menghubungi Balai Polis Pasir Gajah untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian sebelum berjaya menahan suspek.

“Kita turut merampas satu plastik sarang burung dan pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu,” katanya hari ini.

Mohd Haki berkata, pemeriksaan mendapati tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau seperti kes pecah rumah, dadah, curi kenderaan dan curi.

Katanya, empat suspek yang positif methamphetamine kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 1:15 PM