GAMBAR hiasan.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa berulang-alik sejauh 300 meter bagi mendapatkan bekalan air pili bomba untuk memadamkan kebakaran hutan di Kampung Saujana, Permaisuri, semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Pegawai Bomba Kanan II (PBK11) Mohd Roziman Mohd Amin berkata, pihaknya menggunakan dua jentera dari BBP Setiu dan Jerteh bagi memadamkan kebakaran itu sebaik menerima panggilan pada 1.40 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya, bekalan air daripada dua jentera berkenaan tidak cukup untuk memadamkan kebakaran hutan dianggarkan seluas satu hektar.

“Kebakaran hutan itu berlaku secara berselerak dan berhampiran kawasan taman perumahan.

“Malah, keadaan sedikit berangin selain kesukaran mendapatkan punca air menyebabkan kami mengambil masa lama untuk memadamkan kebakaran itu.

“Sumber air terhad menyebabkan kami terpaksa berulang-alik mendapatkan air pili bomba yang terletak sejauh kira-kira 300 meter dari lokasi kebakaran,” katanya.

Mohd Roziman berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam bagi memadamkan kebakaran itu.

Katanya, pihaknya tidak pasti punca kebakaran itu sama ada kerana pembuangan bahan yang mudah terbakar seperti puntung rokok atau kebakaran semula jadi ekoran cuaca panas ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 12:44 AM