Pemandangan Masjid Terapung Kuching di Tebingan Sungai Kuching yang dirasmikan hari ini. FOTO Bernama
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


MASJID India atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuching yang siap awal tahun ini menjadi mercu tanda baru di Kuching.

Masjid bernilai RM21 juta itu mampu menampung 1,600 jemaah dan menjadi yang pertama seumpamanya dibina di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, selain menjadi simbol keagungan syiar Islam di negeri itu, masjid berkenaan mampu menjadi tarikan pelancongan terutama dengan keunikan reka bentuknya.

“Selain itu, kedudukannya yang strategik dan bersebelahan dengan Tebingan Kuching akan mengubah landskap setempat sekali gus berpotensi menjadi ikon terbaru bandar raya ini.

“Masjid ini menyimpan sejarah tersendiri iaitu daripada sebuah pondok yang dibina India Muslim untuk beribadah ketika datang berniaga di sini dan kini tersergam indah di tebing Sungai Sarawak,” katanya.

Beliau berucap ketika majlis perasmian masjid terbabit yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud hari ini.


Abang Johari (kiri) dan Tun Abdul Taib pada Majlis Perasmian Masjid Terapung Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Abang Johari berkata, masjid baru itu juga sebahagian daripada daya tarikan yang ada di sepanjang tebing Sungai Sarawak selepas Jambatan Darul Hana bernilai RM35 juta yang dirasmikan November 2017.

“Pembinaan masjid ini juga selari dengan usaha memperindahkan kawasan tebingan Sungai Sarawak dari Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung.

“Kami menjangkakan kerja menaik taraf kawasan tebingan ini siap dalam tempoh dua tahun seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan Kuching sebagai bandar raya cantik, bersih dan selamat,” katanya.

Menariknya, kawasan Masjid India juga dilengkapi sinaran lampu LED yang mewujudkan suasana mempersona pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:15 PM