Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 2 menyelamatkan mangsa yang terselamat. FOTO Ihsan Markas Wilayah Laut 2
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


MAYAT kanak-kanak ditemui manakala lima lagi masih hilang selepas bot pancung membawa 11 penumpang karam dilambung ombak di perairan lima batu nautika dari Pulau Nunuyan, Sandakan semalam.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi bot dilaporkan terbalik oleh pasukan penyelamat yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat 4 petang hari ini.

Lima yang masih hilang membabitkan dua lelaki termasuk tekong berusia 30 dan 38 tahun, wanita berusia 42 tahun dan masing-masing seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan lelaki berusia setahun.

Dalam kejadian itu, bot tempur CB 90H dari pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan yang melaksanakan rondaan menemui lima mangsa bot karam yang berpaut pada bot dan melambai ke arah bot 12 tengah hari tadi.

Kelima-lima mangsa yang dipercayai warga Filipina berpaut pada bot terbalik lebih 18 jam selepas bot yang dikatakan dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina ke Sandakan terbalik.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan jam 2.03 petang membabitkan dua aset Maritim Malaysia, tiga aset TLDM dan dua aset Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, kelima-lima mangsa selamat yang berada dalam keadaan lemah dan trauma dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut dan berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa pemegang kad IMM13.

“Ketika ditemui semua mangsa tidak memakai jaket keselamatan dengan bot dinaiki dianggarkan berukuran tiga meter panjang dan satu meter lebar.

“Operasi mencari hari ini tertumpu di kawasan posisi asal bot terbalik dan dalam radius sekitar lima batu nautika,” katanya. Turut hadir Ketua Bahagian Operasi dan Peperangan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Komander Jamhari Katimin TLDM.

Mohd Khairulanuar berkata, siasatan juga masih diteruskan untuk mengenal pasti pertalian antara setiap mangsa dan bot yang dinaiki semua mangsa sudah dibawa ke pangkalan TLDM Sandakan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan 6.30 petang dan akan diteruskan pagi esok.

Berita berkaitan

5 selamat, 6 dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 9:37 PM