Kanak-kanak 10 tahun maut tercampak keluar dari MPV yang terbabas di Kilometer 18.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai, hari ini. FOTO FB Community Roda Johor - CRJ
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEORANG kanak-kanak 10 tahun maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dinaikinya bersama lapan yang lain terbabas di Kilometer 18.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.25 tengah hari itu, kenderaan dipandu seorang lelaki bersama sembilan penumpang yang dipercayai murid dan pelajar Madrasah Tahfiz Ar Rayyan, Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

Bagaimanapun, semua identiti mangsa termasuk yang meninggal dunia belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mereka di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kemalangan membabitkan MPV yang terbabas sendiri.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar kenderaan itu yang dari arah utara menghala ke selatan itu pecah.

“Kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas melanggar besi tengah pembahagi jalan sebelum berpusing serta terbalik di lorong kecemasan arah yang sama.

“Mangsa-mangsa yang berada dalam kenderaan tercampak ke atas jalan raya dan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Mangsa yang lain cedera parah. Ketika polis tiba, MPV dalam keadaan terbalik di lorong kecemasan jalan menghala ke Johor Bahru.

“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 9:05 PM