RISIKIN (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Supian Ahmad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


TIGA remaja berusia 13 hingga 15 tahun mempelajari cara memecahkan cermin kereta melalui YouTube sebelum melakukan kegiatan jenayah berkenaan di kawasan masjid sekitar USJ di Subang Jaya, sejak 18 Februari lalu.

Malah, kumpulan penjenayah ‘cilik’ itu sudah memecahkan 13 cermin kenderaan dan mensasarkan waktu subuh untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

Bagaimanapun tindakan mereka itu terbongkar selepas polis berjaya menahan remaja berkenaan di kawasan parkir Masjid An-Nur, 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, tangkapan dilakukan pasukan khas diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Subang Jaya selepas pihaknya menerima beberapa laporan polis mengenai kejadian.

Menurutnya, hasil pemantauan pihaknya, ketiga-tiga remaja berjaya diberkas jam 3 pagi selepas dipercayai baru melakukan tiga kes pecah cermin.

“Hasil pemeriksaan polis menemui wang tunai bernilai RM1,861 dipercayai diperoleh hasil kegiatan pecah kereta.

“Selain itu, polis turut merampas lima kad pengeluaran wang automatik (ATM), komputer riba (seunit) dan sekeping kad akses sebuah residen di kawasan berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Risikin berkata, siasatan mendapati dua daripada remaja berkenaan masih bersekolah manakala seorang lagi sudah tidak bersekolah.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes cermin kereta yang mensasarkan kawasan masjid sebagai tempat melakukan jenayah.

“Suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:35 PM