Motosikal mangsa yang maut selepas terlanggar serpihan batu di Penampang. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


PENUNGGANG motosikal yang dalam perjalanan pulang maut selepas terlanggar serpihan batu di jalan raya sebelum bergesel dengan penghadang jalan di Jalan Meruntum Tombovo, Penampang hari ini.

Kejadian 5 pagi itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai mekanik maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah jalan Tombovo hendak pulang ke rumahnya di Kinarut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa dipercayai terlanggar serpihan batu di jalan raya.

“Akibat kejadian itu, motosikal mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan penghadang jalan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:20 PM