Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


TAKTIK keldai dadah membalut dadah jenis Methamphetamine di betis dan pahanya untuk diseludup ke luar negara berjaya dihidu pihak berkuasa yang menahannya di kawasan Pelepasan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tengah malam kelmarin.

Lelaki tempatan berusia 51 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dalam keadaan mencurigakan ketika mahu melepasi mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), di lapangan terbang itu 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, hasil tangkapan itu polis merampas enam bungkusan plastik lut sinar yang disembunyikan pada badan suspek.

“Lelaki terbabit dalam perjalanan menuju ke Korea dan jumlah keseluruhan dadah dirampas 2.3 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan RM113,900.

“Suspek yang bekerja sebagai juruteknik elektrik dan berasal dari Perak dipercayai membalut dadah berkenaan di sebuah hotel sebelum menuju ke lapangan terbang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam hari ini.


Noor Azam menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di klia2 dan Brickfields. FOTO Saddam Yusoff

Noor Azam berkata, suspek dipercayai menerima upah RM8,000 untuk menyeludup dadah itu untuk dipasarkan ke Asia Timur.

“Suspek dipercayai terpengaruh dengan modus operandi dijalankan sindiket di laman sosial yang menawarkan tawaran melancong ke luar negara sambil membawa dadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek pernah menyeludup dadah ke luar negara sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah serta ujian air kencingnya juga positif dadah Methamphetamine.

“Sindiket dipercayai beroperasi di negara ini dan harga dadah bagi pasaran di Asia Timur bagi 1kg syabu dianggarkan RM200,000 berbanding di Malaysia hanya RM50,000.

“Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah mulai 27 Februari hingga 5 Mac ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 2:49 PM