Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


IBU bapa tidak seharusnya menjadikan alasan status atau kesahihan halal vaksin untuk tidak memberi imunisasi kepada anak masing-masing memandangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengeluarkan fatwa mengenai keperluannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sememangnya mengesyorkan kepada ibu bapa supaya memberi suntikan imunisasi kepada kanak-kanak kerana ia adalah langkah pencegahan terhadap penyakit berjangkit.

Namun, Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masih ada ibu bapa di negara ini yang enggan memberi suntikan imunisasi kepada anak mereka kerana mempertikaikan kesahihan status halal vaksin.

“Ia adalah satu pertikaian tetapi pihak JAKIM sudah keluarkan fatwa ia (vaksin) adalah halal.

“Vaksin diberikan sebagai langkah pencegahan jadi saya rasa eloklah ibu bapa di negara ini memberi suntikan imunisasi kepada anak masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Wan Azizah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, pencapaian program imunisasi untuk demam campak pada 2017 sebagai contoh adalah pada tahap 88 peratus daripada 95 peratus yang disasarkan.

“Jadi, ibu bapa jangan dengarlah (apa yang yang disampaikan geng anti vaksin) , mungkin ada satu atau dua kes yang tidak bernasib baik tetapi keseluruhannya, suntikan imunisasi adalah selamat,” katanya.


DR Wan Azizah melawat ke ruang pameran ketika pelancaran Yayasan Petronas. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Dr Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian terbabit mendapat desakan kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Ia ekoran kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Johor yang meninggal dunia akibat jangkitan difteria dan mangsa tidak pernah menerima suntikan imunisasi sejak dilahirkan.

Selain itu, lima kanak-kanak turut disyaki positif jangkitan difteria dan ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Semua kanak-kanak berkenaan termasuk kakak kepada budak lelaki yang meninggal dunia, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri

Cadangan berkenaan juga disokong Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) yang menyifatkan sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan suntikan vaksin imunisasi sebelum kanak-kanak masuk alam persekolahan kerana ia sudah membabitkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

Kerajaan Johor turut menyokong cadangan terbabit memandangkan suntikan vaksin adalah perlindungan untuk kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 1:48 PM