PETUGAS SPR membuat persiapan menghadapi PRK DUN Semenyih esok. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


ENAM laluan di sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang dijangka sesak berikutan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, enam lokasi itu membabitkan persimpangan lampu isyarat Bandar Sunway, persimpangan lampu isyarat Paling Jaya; persimpangan lampu isyarat Sungai Lalang; Pekan Semenyih, Batu 26 Beranang dan Bandar Rinching.

Katanya, perancangan rapi dan penempatan anggota trafik sudah dibuat untuk memastikan kelancaran aliran trafik di lokasi berkenaan.

“Orang ramai yang tidak terbabit dengan proses pengundian, mereka disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Eco Setia Hill, Jalan Ecoworld dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) untuk mengelakkan kesesakan di laluan utama di Kajang, Semenyih serta Beranang.

“Hanya laluan di depan Dewan Cempaka, Saujana Impian akan ditutup dan dilencongkan ke jalan di kiri serta kanan dewan berkenaan bermula 2 petang hingga keputusan pilihan raya diumumkan, esok,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Mohd Sabri berkata, sepanjang tempoh berkempen bermula 16 Februari lalu hingga 11 pagi tadi, keadaan keselamatan di seluruh kawasan DUN Semenyih terkawal tanpa berlaku sebarang insiden boleh menggugat ketenteraman awam.

“Seramai 1,115 pegawai polis dan kakitangan awam akan bertugas ketika hari pengundian dan penjumlahan undi.

“Pihak polis komited memastikan 23 pusat mengundi berada dalam keadaan selamat dan terkawal sehingga pilihan raya ini selesai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima 35 laporan polis dengan 11 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 332 permit bagi ceramah serta aktiviti politik dikeluarkan membabitkan calon bertanding daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bebas.

“Daripada jumlah itu, 141 permit dikeluarkan bagi BN; PH (166); PSM (17) dan bebas (8),” katanya.

Katanya, pengundi tidak perlu khuatir dan gusar terhadap keselamatan diri kerana pihak polis akan memastikan proses proses pilihan raya itu berjalan lancar serta selamat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat.

“Pihak polis yakin proses pembuangan undi akan berjalan lancar esok. Kami memberi komitmen tinggi dalam memastikan pilihan raya ini berjalan dengan aman dan tenteram.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Sementara itu, pihaknya mengesahkan video tular yang memaparkan kekecohan ketika Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sedang berucap di sebuah program adalah rakaman insiden lama.

“Kami sedia maklum berhubung penularan video itu sejak semalam yang dikaitkan dengan program dihadiri Perdana Menteri di Semenyih, malam tadi.

“Siasatan mendapati video itu adalah rakaman insiden lama iaitu pada 2017 dan berlaku di luar kawasan Kajang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:55 PM