MOHD Nasir hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


SETIAUSAHA Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud memberi keterangan lebih satu jam bagi membantu siasatan dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada UMNO di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, hari ini.

Beliau yang memakai baju Melayu warna coklat muda tiba di SPRM Jalan Lundang pada 9.40 pagi dan keluar pada 10.50 pagi.

Mohd Nasir yang juga bekas Setiausaha PAS Kawasan Kuala Krai ketika ditemui berkata, dua pegawai SPRM yang mengambil keterangannya bertanya beberapa soalan kepadanya berhubung penerimaan dana.

“Mereka tanya soalan (dana RM90 juta). Saya kata tidak tahu. Beberapa soalan itu saya hanya jawab tidak tahu.

“SPRM juga tidak minta apa-apa dokumen daripada saya,” katanya ketika ditemui di luar pejabat SPRM di Kota Bharu, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pemimpin PAS yang lain akan dipanggil SPRM selepas ini termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz beliau berkata, tidak tahu mengenai perkara itu.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberi keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berkaitan siasatan kes itu.

Sebelum ini, beberapa individu dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan itu antaranya Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas timbalan presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Husam Musa.

Pada 25 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:15 PM