NORIYATI bersama anaknya Mohd Shamsul Bahrin menunjukkan replika cek RM10,000 yang diterima. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

Bachok: “Ketika saya bersedih kerana memikirkan cara mencari duit untuk hantar anak belajar, tiba-tiba dapat panggilan terima RM10,000, ia amat mengejutkan,” kata penanam sayur, Noriyati Mohamad, 43.

Noriyati antara tiga ibu tunggal yang menerima sumbangan takaful bernilai RM10,000 melalui program Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) Microtakaful Jariyah bagi keluarga miskin tegar yang kematian ketua keluarga.

Wanita dari Kampung Kemayan, Tawang, di sini, berkata dia tidak menyangka menerima bayaran takaful itu selepas kematian suami, Mohd Alias Abdullah, 47, November tahun lalu akibat demam.

Katanya, dia memerlukan wang untuk menghantar anak keduanya, Mohd Shamsul Bahrin, 18, belajar di Kemaman, Terengganu bulan ini selain turut menanggung anak sulung, Mohd Zulkarnain, 20, serta Mohd Farid Haiqal, 15 dan Nur Fatin Nabihah, 7, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor.

“Selain keperluan sekolah anak, duit ini juga akan digunakan untuk menambah tanaman sayuran seperti lada, timun dan bendi,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Agihan dan Penyerahan Manfaat PruBSN Microtakaful Jariyah di Dewan AD Banquet, Kampung Sentosa, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad, Nor Azman Zainal dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Amir Zakri.

Sementara itu, Nor Azman berkata, sejak diperkenalkan Mac tahun lalu, seramai 12,500 penerima miskin tegar dari seluruh negara layak menerima skim berkenaan yang memperuntukkan perlindungan takaful selama 12 bulan.

Katanya, jika berlaku kematian ketua keluarga, penerima akan mendapat pampasan takaful sebanyak RM10,000 tanpa perlu mencarum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:35 AM