Keadaan kenderaan yang rosak dirempuh lori membawa batu yang mengundur di er 16, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di susur masuk ke Amansiara, Gombak petang ini. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

SEBANYAK 11 kenderaan rosak apabila sebuah lori membawa blok batu yang mengalami kerosakan tiba-tiba mengundur di Kilometer 16, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di susur masuk ke Amansiara, Gombak petang ini.

Kejadian 3.10 petang itu turut menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua arah laluan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun itu rosak ketika melalui jalan berbukit di situ.

Katanya, pemandu lori berkenaan kemudian cuba mencari batu bagi diletakkan di bawah tayar supaya kenderaan berat itu tidak bergerak.

“Namun, tiba-tiba lori berkenaan mengundur dan merempuh 10 kereta serta sebuah motosikal di belakang sebelum terhenti sebaik melanggar pembahagi jalan.

“Kejadian turut menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera ringan di dahi manakala pemandu serta penumpang 10 kenderaan lain selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, hasil siasatan mendapati pemandu lori sudah menarik brek tangan namun ia dipercayai gagal menghalang kenderaan itu bergerak disebabkan berat muatan yang dibawa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Dzulhafizie di talian 013-7465469 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 11:08 PM