Tertuduh dijatuhi hukuman denda di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TINDAKAN lelaki mengugut mahu mencederakan isteri menggunakan pisau membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM10,000 di Mahkamah Majistret

Kuala Terengganu hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Mohd Khairul Hafiz Kamarudin, 32, dari Batu Rakit, Kuala Nerus turut berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu mencederakan isterinya, Aisyah Azmi, 27, menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, 1.45 tengah hari 21 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa dan tertuduh bertengkar kerana masalah rumah tangga sebelum mangsa dikatakan meminta cerai.

Permintaan itu menyebabkan tertuduh naik angin dan mengugut mahu mencederakan mangsa menggunakan pisau.

Mangsa yang bimbang keselamatan diri keluar dari rumah bersama anak perempuan yang masih kecil sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibu saudaranya yang juga saksi kejadian.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Batu Rakit, tertuduh ditahan di rumahnya 7.20 malam pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:59 PM