Noor Rashid (tengah) ketika hadir pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri dua Peringkat Kontinjen Kedah, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


HAMPIR 10 individu dalam buruan polis kerana dikenal pasti memuat naik kenyataan menghina agama hingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman supaya menyegerakan siasatan berkaitan kes itu.

“Kami menganggap, penting usaha penguatkuasaan dilaksanakan terutama kepada individu yang didapati menghina agama, supaya keharmonian negara berada dalam keadaan terjamin.

“Semalam, saya sendiri sudah mengarahkan supaya kes seumpama (hina agama) ini disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan pendakwaan dibuat.

“Setiap hari, saya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan dimaklumkan perkembangan siasatan yang membabitkan penghinaan agama. Semua kes berkaitan akan diambil alih Bukit Aman untuk menyegerakan tindakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, kebanyakan kes menghina agama sudah dikesan, namun tidak menafikan ada pihak yang sudah melarikan diri.

Semalam, seorang lelaki warga emas, Wai Foo Sing, 68, yang didakwa memuat naik karikatur dipercayai Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah yang berunsur penghinaan, dipenjara selepas gagal membayar wang jaminan RM20,000 yang diperintahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tertuduh yang gagal membayar wang jaminan kemudian dipercayai dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:56 PM