Anas didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana komen menghina PDRM di Facebook. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

SEORANG lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menulis komen menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook dua tahun lalu.

Anas Mohd Zainal Abidin, 36, dari Kuala Nerus turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Mengikut pertuduhan, Anas didakwa mengaibkan dengan niat mendatangkan kemarahan kepada pegawai dan anggota PDRM dengan mengetahui ia boleh memecahkan keamanan awam di pejabat Unit Media Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Terengganu, 2.30 petang pada 27 September 2017.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, anggota yang sedang membuat pemantauan berita yang dimuat naik di dalam Facebook bertajuk ‘senarai nama orang dikehendaki polis’ terjumpa satu komen daripada pemilik akaun Alexander Iskandar Anas berbaur kata-kata kesat terhadap PDRM.

Tertuduh dikatakan mempersoalkan tugas pegawai penyiasat yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan baik kerana masih gagal menyelesaikan kes rogol bawah umur membabitkan mangsa berusia 14 tahun dan suspek berusia 20-an.

Dia ditahan di hadapan sebuah apartment di Selangor kira-kira 8 malam pada 1 Oktober 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:43 PM