Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


DALAM masa dua bulan saja, hampir 100 juta batang rokok seludup dirampas di seluruh negara dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM7 juta.

Ia membabitkan 217 kes yang direkod sejak awal tahun ini sehingga hari ini dengan nilai cukai dielak RM62.9 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras menjadi agenda utama jabatan itu bagi memastikan hasil negara dapat ditingkatkan.

“Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, 217 kes direkodkan membabitkan tangkapan dan rampasan rokok seludup di seluruh negara.

“Rampasan rokok hampir 100 juta batang dan dianggarkan bernilai hampir RM7 juta serta nilai cukai RM62.9 juta,” katanya pada sidang akhbar Prestasi Kastam Banteras Penyeludupan Rokok dan Minuman Keras di Kuala Lumpur hari ini.

Subromaniam berkata, jumlah keseluruhan membabitkan rokok dan minuman keras 325 kes dengan 108 adalah tangkapan manakala bakinya kes membabitkan rampasan barangan.

“Sebanyak 149 kes rokok dan minuman keras sudah dibicarakan di mahkamah dengan 74 daripadanya mengaku bersalah dan selebihnya memohon untuk dibicarakan,” katanya.

Beliau berkata, hasil aktiviti penguatkuasaan dan pelaksanaan pindaan undang-undang meningkatkan kutipan cukai bagi kedua-dua barangan itu.

“Kutipan duti dan cukai untuk rokok serta minuman keras bagi 2018 adalah RM5.5 bilion. Bagi tahun ini, jabatan mensasarkan pertambahan 27 peratus atau RM7 bilion.

“Untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini, hasil kutipan cukai untuk minuman keras meningkat 30 peratus. Jabatan yakin kutipan hasil ini akan terus meningkat pada bulan berikutnya.

“Kutipan cukai untuk rokok pula belum menunjukkan peningkatan ketara dan jabatan yakin dalam masa akan datang ia menunjukkan peningkatan dan ini berdasarkan kepada ‘flowback’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:39 PM