Syabu yang dirampas dalam dua tangkapan termasuk babitkan penuntut wanita. FOTO Ihsan PDRM.
Garret Dawum
garret@nstp.com.my


PENUNTUT wanita sebuah universiti awam berusia 18 tahun ditahan polis kerana memiliki 2.20 gram syabu di Jalan Seringguk, Bau, Sarawak.

Turut ditahan lelaki berusia 18 tahun yang bersamanya ketika menaiki Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, pasukannya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menahan kereta dinaiki kedua-dua suspek pada 7.35 malam semalam.

“Pemeriksaan pada badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui tiga paket plastik pelbagai saiz mengandungi serbuk kristal disyaki syabu,” katanya, hari ini.

Terdahulu, dalam satu tangkapan lain, seorang penganggur berusia 21 tahun ditahan kerana memiliki syabu 0.93 gram.

Dia diberkas di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Seringguk pada 11.35 pagi selepas polis menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu yang disimpan dalam beg kecilnya.

Poge berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM100,000, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 3:17 PM