Jarak penglihatan terhad di Jalan Perindustrian Gebeng kerana asap tebal akibat kebakaran hutan tanah gambut. FOTO Zulkepli Osman
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


TUJUH puluh peratus daripada 60 hektar hutan gambut di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan yang terbakar sejak Isnin lalu berjaya dipadamkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sehingga hari ini.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menggunakan kaedah membina empangan dan menaikkan paras air di kawasan kejadian untuk memadamkan kebakaran di kawasan hutan itu.

Katanya, penggunaan kaedah itu berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lain sekali gus dapat memadamkan kebakaran di kawasan yang sudah terbakar.

“Kombinasi taktikal iaitu menaikkan paras air untuk pembanjiran menyeluruh selain pemadaman terus anggota bomba berjaya memadamkan api daripada terus merebak.

“Sehingga kini 70 peratus hutan yang terbakar sudah dipadam.

“Namun kita yakin dengan kaedah ini mempercepatkan lagi proses pemadaman api di kawasan ini,” katanya hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya juga menggunakan dua pam berkapasiti tinggi termasuk satu yang dipinjam daripada JBPM Terengganu sejak semalam bagi memastikan bekalan air dapat diperoleh dari dua tasik di hutan itu.

“Operasi ini juga membabitkan 44 pegawai dan anggota bomba termasuk 30 sukarelawan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) yang terdiri daripada kilang utama di sini iaitu Kaneka Malaysia, Lynas Malaysia Sdn Bhd dan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd selain dibantu kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd,” katanya.

Kebakaran hutan gambut yang juga bekas kawasan pengeluaran balak dikesan jam 2 petang Isnin lalu, dipercayai berpunca daripada tindakan pemancing meninggalkan puntung rokok atau menyalakan unggun api ketika memancing di tasik hutan terbabit.

Pada hari kejadian, bomba menerima panggilan jam 2.28 petang memaklumkan kebakaran di hutan gambut di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Berdasarkan maklumat awal, ia dipercayai akibat aktiviti memancing kerana ada beberapa pemancing dilihat keluar dari kawasan hutan yang terbakar berhampiran sebuah tasik.

Bagaimanapun, kebakaran hutan berkenaan semakin merebak semalam apabila meningkat kepada 60 hektar berbanding 40 hektar pada hari pertama berikutan keadaan angin selain cuaca panas dan kering.

Berita berkaitan

Gebeng 'terbakar' [METROTV]

[UPDATE] 60 hektar hutan terbakar di Gebeng

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:56 PM