TERTUDUH, Syed Mohd Norhasrul Tuan Rosely, 30, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul isterinya ketika didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya akibat cemburu, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Syed Mohd Norhasrul Tuan Rosely, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan topi keledar dan pengunci besi motosikal 'forge lock' untuk memukul seluruh badan isterinya berusia 31 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah di Jalan Ujong Pasir, Melaka, pada 8.30 pagi, 9 Oktober 2018.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin, mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas tertuduh serta syarat tambahan.

Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai pencuci kereta itu hanya mendiamkan diri ketika diminta untuk membuat rayuan.

Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 serta syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa serta saksi selain menetapkan 22 Mac depan tarikh sebutan semula.

Difahamkan, kejadian berlaku disebabkan tertuduh menyangka isterinya keluar bersama teman lelaki sedangkan wanita berkenaan pergi membeli makanan ketika suaminya itu ke tempat kerja di Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 12:30 PM