SERAMAI 15 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun yang bekerja sebagai buruh dan penganggur dipercayai penagih dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan Kampung Bakau Tua, Kuala Muda. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BERKOPIAH kononnya biar nampak alim, namun melencong masuk ‘port’ untuk hisap dadah.

Itu antara taktik digunakan penagih untuk mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa dengan menyamar baik kerana bimbang perbuatan mereka dihidu.

Malah, ada antara penagih yang sudah berusia memberi alasan kononnya mahu mencari anak mereka yang menghisap dadah di kawasan hutan bakau terbabit selepas port itu diserbu, semalam.

Bagaimanapun, semua alasan itu gagal mengaburi mata anggota polis yang menyerbu sarang penagih terbabit di Kampung Bakau Tua, Kuala Muda, di Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan bermula 3 petang itu seramai 15 penagih berusia 20 hingga 60 tahun berjaya ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas heroin seberat 23.9 gram dan ganja seberat 2.3 gram yang bernilai RM1048.

“Hasil siasatan mendapati dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri dan juga untuk dijual kepada penagih dalam port terbabit.

“Pemeriksaan air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan mereka kini ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan pelbagai alasan diberikan penagih dengan ada antara mereka dilihat memakai kopiah kononnya berlagak alim.

“Walaupun pelbagai alasan dan taktik digunakan suspek, namun mereka gagal mengaburi mata polis kerana kawasan terbabit memang diketahui sebagai lokasi melepaskan gian oleh penagih dadah.

“Kita akan menjalankan operasi secara berterusan bagi membendung gejala penagihan dadah di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 9:39 AM